Timbang tamat tentusah, peruncit kena kompaun
LABUAN: Lokasi di luar bandar bukan ‘lesen’ untuk peniaga mengabaikan undang-undang apabila seorang peruncit dikompaun selepas didapati menggunakan alat timbang yang sudah tamat tempoh tentusah.
Kesalahan itu dikesan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan ketika melakukan pemeriksaan di kawasan luar bandar Labuan, hari ini.
Pemeriksaan mendapati alat timbang jenis neraca spring dua muka dengan had terima 20 kilogram (kg) masih digunakan untuk tujuan perdagangan walaupun tempoh tentusahnya sudah tamat.
Susulan itu, tindakan kompaun dikenakan terhadap peniaga terbabit mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).
KPDN Labuan menegaskan pemeriksaan dan penguatkuasaan dilaksanakan tanpa mengira lokasi bagi memastikan hak pengguna terus dilindungi.
Menurutnya, alat timbang dan sukat yang mempunyai tentusah sah penting bagi memastikan bacaan tepat sekali gus menjamin urusan jual beli yang adil.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 71, pelaku boleh didenda sehingga RM40,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
KPDN Labuan turut mengingatkan semua peniaga supaya memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan sentiasa berada dalam tempoh tentusah sah serta melakukan tentusah semula sebelum tempohnya berakhir.
Pemantauan dan pemeriksaan akan terus dilaksanakan di seluruh Labuan termasuk kawasan luar bandar.

