TM Sabah salur Zakat Wakalah kepada empat masjid, 20 asnaf

PITAS: Telekom Malaysia Berhad (TM) Sabah menyerahkan Zakat Wakalah kepada empat masjid dan 20 golongan asnaf sempena Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG).

Menurut kenyataan TM pada Isnin, inisiatif di bawah Kluster Rumah Ibadah itu dilaksanakan menerusi Badan Kebajikan Islam TM Sabah dan WP Labuan (BAKIT TM Sabah & WP Labuan).

Penyerahan melibatkan Masjid Ar Rahim, Keningau; Masjid Felda Umas, Kalabakan; Masjid Pangiran Haji Abd Karim di Kampung Kalumpang, Pitas; serta Masjid Jamek Kampung Penampang, Kota Belud.

Seramai 20 asnaf di Kampung Kalumpang, Pitas turut menerima manfaat menerusi program berkenaan.

TM berkata, penglibatan syarikat dalam program itu bukan sahaja mencerminkan peranannya menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian digital kepada rakyat, malah memperlihatkan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, usaha tersebut turut menyokong peranan masjid sebagai pusat ibadah, pembangunan komuniti dan penyatuan masyarakat, selain menjadi platform untuk mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

Penyertaan TM dalam KMJG juga selaras dengan usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara melalui nilai kesatuan, keprihatinan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.

Berita Berkaitan