Tujuh projek UMS manfaatkan komuniti Kampung Keramuak

KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh projek pemindahan ilmu dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Program Rentas Borneo 2026 bagi memberi manfaat kepada komuniti Kampung Keramuak, Tongod dan kawasan sekitarnya.

Program bertemakan “Keramuak Disusur, Bakti Dihulur” itu melibatkan 65 peserta daripada UMS, Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS, agensi kerajaan dan swasta serta komuniti setempat.

Antara projek dilaksanakan ialah pendidikan kesihatan dan perubatan oleh Hospital UMS termasuk aktiviti berkhatan beramai-ramai melibatkan 25 murid Sekolah Kebangsaan Keramuak.

Turut dilaksanakan ialah program pendidikan berkaitan cita-cita dan kecerdasan emosi murid, teknologi kompos dan penanaman anak pokok serta Bengkel al-Fatihah.

Selain itu, komuniti turut didedahkan kepada aspek kesenian dan budaya Malaysia MADANI, kesedaran alam sekitar dan biodiversiti serta keselamatan dan kemasyarakatan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, program berkenaan membuktikan komitmen universiti dalam membawa kepakaran akademik terus kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Menurutnya, pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi “UMS The Brain of Borneo” yang menekankan penggunaan ilmu dan kepakaran universiti bagi pembangunan masyarakat.

“Semoga dengan pemindahan ilmu ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup komuniti desa dan menjadikan komuniti desa, komuniti yang pentingkan ilmu dan sentiasa mahu maju ke hadapan,” katanya.

Beliau turut berharap program seumpama itu dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan.

Berita Berkaitan