UMS latih 117 pembantu pengajar perkasa kemahiran 3M murid pemulihan
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melatih 117 pembantu pengajar bagi memperkukuh penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid pemulihan khas menerusi Bengkel Training of Trainers (ToT) Program Anak Kita (PAK) 2026.
Program anjuran Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS itu bertujuan melengkapkan peserta dengan pengetahuan, kemahiran pedagogi dan profesionalisme sebelum ditempatkan di 62 sekolah di seluruh Sabah.
Ketua Penyelidik PAK 2026, Dr Juppri Bacotang berkata, pembantu pengajar memainkan peranan sebagai rakan sokongan kepada Guru Pemulihan Khas dalam melaksanakan intervensi kemahiran asas 3M secara sistematik dan berkesan.
“Pembantu pengajar bukan sahaja membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, malah bertindak sebagai pemudah cara yang menyokong perkembangan murid melalui pendekatan kreatif dan berorientasikan murid,” katanya.
Beliau berkata, program itu menyasarkan 1,948 murid pemulihan khas Tahun Dua di 62 sekolah membabitkan 15 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sabah.
Menurutnya, program berkenaan turut memperkukuh kompetensi 62 Guru Pemulihan Khas melalui latihan dalam perkhidmatan (LDP) dan penggunaan Modul CERIA 3M Sabah.
Inisiatif itu merupakan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kewangan (MOF), Unit Pantau MADANI, Yayasan Hasanah dan Persatuan Himpunan Ilmuan Universiti Malaysia Sabah (HIUMS).

