Vesel pukat tunda ditahan, disyaki langgar syarat lesen
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan sebuah vesel pukat tunda Kelas C selepas disyaki melanggar beberapa syarat lesen perikanan kira-kira 6.7 batu nautika tenggara Pulau Nipis, Perak, Ahad lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel itu dikesan sedang menjalankan aktiviti perikanan kira-kira 2 petang ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan menerusi Op SAYONG, Op KHAS TANJUNG 2 dan Op TIRIS.
Katanya, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama seorang kru warga Malaysia serta tiga kru warga Myanmar berusia antara 39 hingga 67 tahun.
“Siasatan awal mendapati vesel itu disyaki menjalankan aktiviti perikanan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, menggunakan kru asing tanpa kebenaran serta pukat dengan saiz mata kurang 38 milimeter,” katanya.
Pemeriksaan turut menemukan kira-kira 200kg ikan campur serta peralatan menangkap ikan berupa pukat tunda.
Tiga kru warga Myanmar turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri sah dan tidak memiliki permit kerja.
Kesemua nelayan ditahan untuk siasatan manakala vesel, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dirampas untuk tindakan lanjut.
Kes berkaitan pelanggaran syarat perikanan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

