Pengerusi jawatankuasa perumahan ditahan, disyaki terima rasuah RM1.6 juta

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di Johor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.

Menurut laporan Bernama, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor pada kira-kira 7.30 malam semalam.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2016 hingga 2025.

Suspek dipercayai meminta kira-kira RM4,000 daripada setiap 400 pemohon lot tapak rumah, membabitkan nilai keseluruhan sekitar RM1.6 juta.

Wang berkenaan didakwa diseleweng untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa tersebut dengan menggunakan invois palsu.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A), Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas proses merakam keterangannya selesai.

Berita Berkaitan