‘Wuina boss, muncul lagi!’ – Kegiatan meminta sedekah di Lahad Datu terus jadi perhatian
LAHAD DATU: “Wuina boss, muncul lagi, Palauh minta sedekah ni,” demikian antara reaksi netizen susulan kemunculan semula kumpulan individu yang meminta wang daripada pengguna jalan raya di sekitar daerah ini.
Sejak beberapa bulan lalu, kegiatan meminta sedekah yang dikaitkan dengan komuniti Palauh terus menjadi perhatian selepas beberapa rakaman mengenainya tular di media sosial.
Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan segelintir individu bertindak meludah ke arah pemandu kenderaan apabila permintaan mereka untuk mendapatkan wang tidak dilayan.
Perbuatan itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna jalan raya yang bimbang terhadap keselamatan diri, khususnya ketika berhenti di kawasan tertentu.
Pada masa sama, terdapat juga dakwaan mengenai kegiatan menghidu gam secara terbuka oleh segelintir individu di kawasan awam.
Situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pemantauan serta tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu yang dilaporkan berulang kali itu.
Orang ramai berharap pihak berkuasa tempatan bersama agensi penguat kuasa dan kebajikan dapat mengambil pendekatan lebih menyeluruh, termasuk aspek keselamatan awam, perlindungan kanak-kanak serta bantuan sosial kepada golongan yang memerlukan.
Persoalannya, sampai bila kegiatan meminta sedekah secara agresif dan penyalahgunaan bahan terlarang yang didakwa berlaku di Lahad Datu akan terus berlarutan tanpa penyelesaian berkesan?

