12 warga China ditahan, 153 iPhone dirampas dalam serbuan banglo mewah di Damai
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 12 lelaki warga China yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian menerusi serbuan di sebuah banglo mewah di kawasan Damai, di sini, pada Selasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha binti Habib Yussof berkata, serbuan menerusi Ops Serkap kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan selepas pihaknya melaksanakan risikan selama seminggu.
Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan 42 pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu dan membawa kepada penahanan semua suspek berusia antara 20 hingga 43 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek dipercayai berada di negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial.
“Bagaimanapun, 10 individu dikenal pasti melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, seorang lagi disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa, manakala seorang individu disyaki melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurutnya, serbuan itu turut membawa kepada rampasan 153 telefon bimbit jenama Apple pelbagai model, 11 komputer, satu unit CPU dan sebuah mesin pencetak.
“Turut dirampas ialah 13 penghala internet, tujuh pengecas USB, tujuh unit bekalan kuasa, 22 kad SIM, tiga pasport Republik Rakyat China serta wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM184.15,” katanya.
Sh Sitti Saleha berkata, semua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian yang dijalankan dari banglo berkenaan.
Kesemua mereka kini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Dua lagi warga China ditahan di Keningau
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, JIM Keningau turut menahan dua warga China di kawasan Tamu Ground, Keningau pada 5 November lalu.
Menurutnya, kedua-dua individu disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka merupakan pemegang pas kerja sebagai jurutera pembinaan, namun didapati menjalankan aktiviti perniagaan dengan menjual barangan di tamu berkenaan,” katanya.
Beliau menegaskan, JIM Sabah memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang imigresen termasuk tinggal lebih masa, berada di negara ini tanpa pas atau permit sah serta penyalahgunaan pas.
Katanya, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan terus diperkukuh bagi mengekang kegiatan yang menyalahi undang-undang, termasuk aktiviti penipuan dalam talian yang disyaki membabitkan warga asing.
“Kerjasama masyarakat, khususnya rakyat Sabah, amat dihargai dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung sebarang kegiatan yang mencurigakan,” katanya.

