Salleh yakin 80% pengundi Sabah di Johor sokong BN

PASIR GUDANG: UMNO Sabah menyasarkan 80 peratus sokongan pengundi Sabah kepada calon Barisan Nasional (BN) di Johor Jaya dan Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan sambutan positif yang diterima sepanjang kempen serta hasil pertemuan dengan masyarakat Sabah yang menetap di Johor.

Menurut beliau, ramai pengundi Sabah mengutamakan kestabilan politik kerana percaya ia menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan dan penciptaan peluang pekerjaan.

Salleh berkata, pada PRN Johor sebelum ini, undi masyarakat Sabah berpecah apabila sebahagiannya menyokong Warisan. Namun, beliau berpandangan ketiadaan Warisan pada pilihan raya kali ini dijangka menyaksikan sokongan tersebut beralih kepada BN.

Katanya, maklum balas daripada pengundi menunjukkan mereka kini lebih menilai aspek kestabilan, tadbir urus yang baik dan kemajuan ekonomi berbanding persaingan politik.

Beliau yakin sokongan masyarakat Sabah mampu memperkukuhkan kedudukan BN di Johor Jaya dan Permas serta mencerminkan komitmen mereka terhadap kerajaan yang stabil dan pembangunan ekonomi negara.

Berita Berkaitan