Khidmat komuniti ubah emosi pelajar, kajian guru Sabah tembusi jurnal dunia
KOTA KINABALU: Siapa sangka aktiviti merawat kuku dan mengurut warga emas mampu membentuk pelajar yang lebih tabah, berempati dan berdaya tahan.
Itulah penemuan menarik sekumpulan guru Kolej Vokasional (KV) Keningau menerusi kajian yang berjaya diterbitkan dalam jurnal akademik antarabangsa International Journal of Multidisciplinary: Applied Business and Education Research pada 23 Jun lalu.
Kajian bertajuk Beyond Beauty: Enhancing Cosmetology Students’ Emotional Resilience Through a Wellness Community Project on Senior Citizens itu membuktikan penglibatan pelajar dalam khidmat komuniti memberi kesan positif terhadap ketahanan emosi mereka ketika berdepan tekanan dan cabaran.
Kajian diketuai tujuh penyelidik iaitu Bibiana Paulus, Vienny Balakrishnan, Diana Kayunon, Alvy Wendyline Florentius, Nur Syahida Mohd Nazri, Dr Sirhajwan Idek dan Lumang anak Lang.
Penyelidikan membabitkan 19 pelajar Program Kosmetologi yang memberikan rawatan kuku tangan, kuku kaki serta urutan badan kepada 44 penghuni Holy Family Residence for Senior Citizens di Papar.
Hasil analisis menunjukkan pelajar yang mampu memahami emosi sendiri dan menunjukkan empati terhadap warga emas mempunyai tahap ketahanan emosi yang jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang berkata, dapatan itu membuktikan khidmat komuniti bukan sekadar aktiviti sukarelawan, malah menjadi medium berkesan membentuk sahsiah, nilai kemanusiaan dan jati diri pelajar.
“Apabila pelajar turun membantu masyarakat, mereka bukan sahaja mempraktikkan kemahiran yang dipelajari, malah belajar menghargai kehidupan, mengurus emosi dan menjadi individu yang lebih prihatin,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan menerbitkan kajian itu turut mengangkat nama KV Keningau dan Sabah di persada akademik antarabangsa, selain membuktikan penyelidikan pendidikan tempatan mampu memberi impak kepada pembangunan modal insan negara.

