Sorok lebih satu tan barang kawalan di pulau
KUDAT: Taktik menyimpan lebih satu tan barang kawalan di sebuah premis tidak berlesen di Pulau Sibogoh, Pulau Banggi, terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Empat.
Serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 itu menemukan 432 kilogram gula kasar, 408 kilogram minyak masak paket dan 210 kilogram tepung gandum yang dipercayai disimpan secara tidak sah.
Seorang lelaki tempatan ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, operasi akan terus dipergiat di kawasan sempadan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan.

