RM100 juta perkasa biasiswa anak Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini bagi membiayai pelajar sedia ada dan tajaan baharu 2026, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peruntukan itu memberi manfaat kepada 2,182 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana, dengan penekanan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, sehingga kini seramai 13,389 pelajar telah menerima tajaan BKNS, mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan turut menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah tahun ini, menjadikan keseluruhan penerima seramai 60 orang.
Beliau berkata, Yayasan Sabah turut meningkatkan penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah daripada 40 kepada 50 orang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pelajar.
Selain itu, kerajaan memperluaskan peluang pendidikan dalam sektor kesihatan apabila 30 anak Sabah akan mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular hasil kerjasama Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College.
Katanya, kerajaan juga meneruskan pelbagai bantuan pendidikan termasuk Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS), Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), bantuan pendidikan MUIS serta 14 inisiatif pendidikan di bawah Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), antaranya BUDI, BAKTI, BAIK, SUBFLY dan SENTOSA.
Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menunjukkan peningkatan apabila Sabah merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, sekali gus kali pertama negeri itu mencatat GPN di bawah paras 5.00.
Beliau turut menggesa pelajar terus mengejar kecemerlangan serta menceburi bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

