Madius gesa Akta Suruhanjaya Siasatan dipinda, jangan biar syor RCI sekadar laporan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan meminda Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi memastikan setiap syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diterjemahkan kepada tindakan dan reformasi sebenar.
Madius berkata cabaran utama negara bukan sekadar mencari kebenaran menerusi penubuhan RCI, sebaliknya memastikan dapatan siasatan dilaksanakan secara konsisten dan berakauntabiliti sehingga masalah yang menjadi punca penubuhannya diselesaikan.
Menurutnya, pengalaman RCI Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah, kematian Teoh Beng Hock dan Tabung Haji menunjukkan kelemahan dalam mekanisme susulan. Beliau berkata laporan RCI Tabung Haji yang disiapkan pada 2023 hanya dibentangkan kepada Parlimen beberapa tahun kemudian kerana tiada kewajipan undang-undang yang menetapkan tempoh pembentangannya.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata demikian ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji pada Sidang Khas Dewan Rakyat.
Beliau mencadangkan pindaan undang-undang yang mewajibkan setiap laporan RCI disusuli Pelan Reformasi Nasional dengan tindakan khusus, kementerian peneraju, garis masa pelaksanaan, keperluan kewangan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), selain dibentangkan kepada Parlimen.
Madius turut mahu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diberi mandat memantau pelaksanaan syor RCI dan memanggil kementerian serta agensi bertanggungjawab untuk menjelaskan kemajuan masing-masing.
Mengambil contoh RCI mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah, Madius berkata sekretariat tetap yang disyorkan hanya bermesyuarat 13 kali dalam tempoh lebih sedekad, sedangkan isu itu masih menjadi cabaran besar kepada Sabah.
Katanya, reformasi institusi perlu dinilai berdasarkan sejauh mana sesuatu masalah berjaya diselesaikan, bukan sekadar jumlah mesyuarat atau aktiviti yang dilaksanakan.

