Dua syarikat penerbangan bermasalah proses pasport lebih 10 tahun
PUTRAJAYA: Hanya dua syarikat penerbangan setakat ini dilaporkan menghadapi masalah sistem untuk memproses Pasport Malaysia Antarabangsa yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, isu itu bukan berpunca daripada pasport Malaysia tidak diterima negara luar, sebaliknya melibatkan sistem yang digunakan oleh sesetengah syarikat penerbangan.
“Setakat ini, maklum balas yang kita dapat hanya dua syarikat penerbangan yang ada masalah. Tetapi saya tidak pasti kalau ada yang lain yang kita belum dapat maklumat,” katanya pada sidang media, hari ini.
Zakaria menjelaskan pasport Malaysia dengan tempoh sah laku 10 tahun masih diteruskan seperti biasa dan tidak pernah dihentikan.
Menurutnya, yang dihentikan sementara hanyalah pemberian tambahan tempoh sehingga enam bulan sehingga menyebabkan sesetengah pasport mempunyai tempoh sah laku keseluruhan melebihi 10 tahun.
Tambahan itu sebelum ini diberikan kepada pemohon yang masih mempunyai baki tempoh sah laku pasport lama melebihi enam bulan ketika membuat pembaharuan supaya baki berkenaan tidak merugikan pemegang pasport.
Bagaimanapun, susulan masalah sistem syarikat penerbangan, JIM mengambil keputusan menghentikan sementara tambahan tempoh tersebut.
Zakaria berkata JIM turut menawarkan penggantian pasport secara percuma kepada pemegang yang sudah menerima pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun enam bulan.

