Tun Musa, Hajiji hadir majlis doa sempena Hari Kebangsaan, Hari Sabah
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menghadiri Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran dan Solat Hajat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di Masjid Negeri, di sini.
Majlis yang diadakan pada Jumaat itu disertai kira-kira 1,000 jemaah dan dimulakan dengan bacaan Surah Yasin yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting.
Ia disusuli bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, yang turut bertindak sebagai khatib dengan menyampaikan khutbah bertajuk “Jiwa Merdeka: Perjuangan Belum Selesai”.
Timbalan Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Malai Ali Malai Ahmad turut menyampaikan tazkirah ringkas kepada para jemaah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Jumaat dan solat hajat yang diimamkan Suhaidi bersama para jemaah yang hadir.
Penganjuran majlis berkenaan menjadi antara pengisian kerohanian sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, selain memupuk semangat kesyukuran, perpaduan serta kecintaan terhadap negeri dan negara.

