Jangan jadi penyebar fitnah di media sosial

TAWAU: Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati sebelum berkongsi sebarang dakwaan di media sosial, khususnya yang membabitkan identiti dan reputasi individu lain.

Ketua masyarakat Cina, Kapitan Lim Ka Jun berkata, amaran itu dibuat susulan penyebaran dakwaan tidak disahkan berkaitan seorang wanita dalam satu kes di Tawau yang melibatkan beberapa individu disyaki terlibat dengan dadah.

Beliau berkata, orang ramai tidak seharusnya membuat kesimpulan sendiri atau mengaitkan individu yang belum disahkan terlibat ketika siasatan polis masih berjalan.

“Jangan anggap hanya kerana kita guna Facebook, TikTok atau WhatsApp, kita boleh berkata apa sahaja tanpa tanggungjawab.

“Internet bukan zon tanpa undang-undang,” katanya.

Menurut Lim, penyebaran kandungan yang tidak sahih boleh mendedahkan seseorang kepada tindakan undang-undang, termasuk peruntukan berkaitan fitnah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Beliau berkata, tanggungjawab bukan hanya terletak pada individu yang menghasilkan sesuatu kandungan, malah mereka yang menyalin, menyiarkan semula atau memajukannya juga perlu berhati-hati.

“Bercakap fakta jika ada fakta, dan jangan sebarkan khabar angin jika tiada,” katanya.

Lim turut mengingatkan bahawa penggunaan akaun palsu atau akaun tanpa nama tidak semestinya menjadikan seseorang tidak dapat dikesan.

Katanya, rekod aktiviti dalam talian, alamat IP serta data teknikal lain boleh menjadi petunjuk penting sekiranya siasatan penguatkuasaan dijalankan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak ketulenan dan sumber maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan diri daripada menjadi penyebar fitnah atau dakwaan tidak berasas.

Berita Berkaitan