Pelancong China meninggal dunia selepas snorkeling di Pulau Pom Pom

SEMPORNA: Seorang pelancong wanita warga China meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti snorkeling bersama keluarganya di perairan Pulau Pom Pom, di sini, semalam.

Mangsa berusia 66 tahun yang berasal dari Yunnan, China melakukan aktiviti berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum mengadu berasa tidak selesa dan meminta dibawa naik ke bot.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Tan Hiap Wah berkata, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri selepas berada di atas bot.

“Mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada tindak balas sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan doktor di Wad Kecemasan Hospital Semporna kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit asma sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Polis kini menjalankan siasatan berhubung kejadian itu sebagai kes mati mengejut.

Tan turut menasihatkan pengusaha pelancongan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan pelancong, terutama ketika menjalankan aktiviti di laut.

Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat, ASP Mohammad Ali Amat.

Berita Berkaitan