Inkues Zara: Ibu akui lebam pada tubuh anak akibat darah beku, bukan dipukul

KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir bersetuju dengan penjelasan pakar perubatan bahawa kesan lebam pada bahagian belakang tubuh anaknya bukan berpunca daripada pukulan, sebaliknya akibat darah beku.

Noraidah Lamat, 46, yang merupakan saksi ke-82 prosiding inkues kematian Zara Qairina, mengakui perkara itu ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penjelasan berhubung kesan lebam yang dilihat ketika memandikan jenazah anaknya itu diberikan doktor pada 10 Ogos tahun lalu.

Ketika disoal peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah sama ada kesan lebam berkenaan bukan disebabkan pukulan objek tumpul tetapi akibat darah beku seperti dijelaskan doktor, Noraidah menjawab, “Betul tuan.”

Noraidah turut mengakui tiada seorang pun doktor yang merawat Zara Qairina pernah mengesahkan kepadanya bahawa anaknya mengalami kecederaan akibat pukulan objek tumpul.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kenyataan media yang dikeluarkan peguam keluarganya pada 3 Ogos tahun lalu dibuat susulan laporan polis yang dikemukakannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang.

Menurutnya, laporan itu bertujuan meminta siasatan lanjut terhadap kesan lebam yang dilihat pada tubuh Zara Qairina ketika memandikan jenazahnya pada 17 Julai 2025.

Katanya, tindakan berkenaan diambil kerana keluarga ketika itu belum menerima penjelasan jelas daripada pihak penyiasat mengenai keadaan sebenar yang menimpa anaknya.

Noraidah turut menegaskan beliau tidak pernah membuat kesimpulan sendiri bahawa Zara Qairina dipukul menggunakan objek tumpul, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya.

Berita Berkaitan