Dua wanita Filipina dicekup dalam Op Sapu di Labuan
LABUAN: Dua wanita warga Filipina dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan selepas disyaki melakukan kesalahan imigresen dalam Op Sapu yang dijalankan di lima premis kediaman sekitar pulau ini.
Kedua-dua wanita terbabit ditahan selepas pemeriksaan terhadap 49 individu, termasuk warga tempatan dan warga asing, dalam operasi yang bermula jam 11.30 malam Selasa hingga 4 pagi Rabu.
Pengarah JIM Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata, operasi berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa imigresen.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua wanita warga Filipina itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kedua-dua wanita ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan satu notis saman kepada saksi bagi membantu siasatan.
Mohd Redzuan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat, termasuk terhadap pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“JIM Labuan akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya.
— SABAH NEWS TODAY

