Jangan jadikan MA63 modal politik serang PMX – Mustapha
KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak sepatutnya terus dijadikan modal politik untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan pelbagai kemajuan telah dicapai dalam menyelesaikan tuntutan Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, Kerajaan MADANI mencatatkan penyelesaian 12 daripada keseluruhan 16 perkara MA63 yang telah dimuktamadkan setakat Oktober 2026.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan komitmen pentadbiran Anwar dalam meneruskan rundingan dan menyelesaikan tuntutan yang tertangguh sejak beberapa pentadbiran terdahulu.
“Saya menghormati hak mana-mana pihak untuk mengkritik Kerajaan MADANI. Kita raikan demokrasi dan terus mendengar denyut nadi harapan rakyat.
“Namun, kritikan mestilah dibuat berasaskan fakta, bukan dengan sangkaan jahat yang menggambarkan seolah-olah tiada sebarang usaha atau kemajuan dalam pelaksanaan MA63,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mustapha berkata, berdasarkan rekod pemantauan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), sebanyak 29 perkara dipantau sejak rundingan dimulakan merentasi beberapa pentadbiran pada 2016.
Daripada jumlah itu, katanya, 16 perkara telah diselesaikan sepenuhnya, tiga diselesaikan secara interim atau sebahagian, manakala 10 lagi masih dalam proses rundingan.
“Pentadbiran terdahulu menyelesaikan empat perkara, manakala Kerajaan MADANI menyelesaikan 12 perkara bagi tempoh 2023 hingga 2026.
“Ini bermakna 75 peratus daripada keseluruhan 16 perkara yang telah dimuktamadkan dicapai di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI,” katanya.
Antara pencapaian yang disenaraikan termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri, penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta pengambilalihan MASWings yang kini dikenali sebagai AirBorneo.
Bagaimanapun, Mustapha mengakui masih terdapat tuntutan penting yang belum dimuktamadkan, khususnya hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.
Pemberian khas bukan penyelesaian hak 40 peratus
Mustapha menegaskan, peningkatan pemberian khas interim kepada Sabah sehingga RM1.5 bilion pada 2026 tidak bermakna tuntutan 40 peratus hasil negeri sudah diselesaikan.
Menurutnya, pemberian khas berkenaan meningkat daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM300 juta pada 2023, RM306 juta pada 2024 dan RM600 juta pada 2025.
Jumlah itu kemudian meningkat kepada RM1.5 bilion pada 2026, dengan kadar sama diumumkan bagi 2027.
“Pemberian khas interim RM1.5 bilion bukan penyelesaian muktamad tuntutan 40 peratus hasil Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Ini merupakan hak kewangan Sabah, bukannya sedekah politik daripada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah masih diteruskan bagi menentukan mekanisme pelaksanaan, jumlah sebenar serta garis masa pembayaran.
Rundingan itu melibatkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Menteri Kewangan Sabah dan pasukan teknikal kedua-dua pihak.
Peruntukan Persekutuan turut meningkat
Dalam pada itu, Mustapha berkata, perbelanjaan keseluruhan Persekutuan kepada Sabah meningkat daripada RM13 bilion pada 2022 kepada RM17.2 bilion pada 2025.
Bagi 2026, sebanyak RM17.6 bilion diperuntukkan, manakala Belanjawan 2027 menyediakan RM18.7 bilion untuk Sabah.
Menurutnya, peningkatan daripada RM13 bilion pada 2022 kepada RM18.7 bilion pada 2027 bersamaan pertambahan RM5.7 bilion atau 43.8 peratus.
Bagi Sarawak pula, jumlah perbelanjaan dan peruntukan Persekutuan meningkat daripada RM10.2 bilion pada 2022 kepada RM16.2 bilion bagi 2027.
Beliau menjelaskan, angka bagi 2022 hingga 2025 merupakan perbelanjaan sebenar, manakala jumlah bagi 2026 dan 2027 adalah peruntukan yang diumumkan.
Rakyat mahu hasil pembangunan
Mustapha bagaimanapun mengakui peningkatan peruntukan dan penyelesaian perkara MA63 perlu diterjemahkan kepada pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, kerajaan memahami keresahan rakyat Sabah yang masih berdepan masalah jalan raya, bekalan air, elektrik serta kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur termasuk Lebuhraya Pan Borneo.
“Peningkatan peruntukan mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan yang lebih pantas dan berkesan.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pengumuman berbilion ringgit jika hasilnya belum benar-benar dirasai rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, rakyat berhak terus menuntut penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan baki perkara MA63, selain menegur kelemahan pelaksanaan projek pembangunan.
Namun, katanya, kemajuan yang dicapai dalam rundingan MA63 sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI juga perlu dinilai berdasarkan rekod dan fakta.
“MA63 tidak sepatutnya dijadikan modal politik untuk menggambarkan Kerajaan MADANI gagal melaksanakan tuntutan MA63 sedangkan rekod penyelesaian terbaik setakat ini hanya dapat dicapai di bawah pentadbiran Perdana Menteri,” katanya.
— SABAH NEWS TODAY

