Jackson, 12, rentung dalam kebakaran 30 rumah di Tawau

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran besar yang memusnahkan 30 rumah di Kampung Sentosa, Jalan Utara Baru Hilltop, di sini, pagi Rabu.

Mangsa dikenali sebagai Jackson Zack ditemukan dalam keadaan rentung di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi ketika pasukan bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Mayat kanak-kanak malang itu kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut.

Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Moiley Milin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan seminit kemudian.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.47 pagi dan mendapati enam rumah jenis separuh kekal serta tidak kekal sedang dijilat api.

“Bagaimanapun, kebakaran merebak dengan cepat sehingga membabitkan keseluruhan 30 rumah berdasarkan perkembangan operasi sehingga jam 8 pagi.

“Pasukan bomba kemudian menemukan seorang mangsa rentung di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Moiley, operasi memadam kebakaran berdepan cabaran besar berikutan kedudukan rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain selain laluan masuk yang sempit.

Lebih menyukarkan keadaan, katanya, kawasan berkenaan tidak mempunyai pili bomba berhampiran sehingga menjejaskan usaha mendapatkan bekalan air bagi operasi pemadaman.

“Keadaan rumah sangat rapat dan jalan pula sempit, ditambah lagi dengan ketiadaan pili bomba.

“Keadaan ini memerlukan pasukan bomba mengatur strategi pemadaman menggunakan beberapa aliran air bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya.

Beliau berkata, seramai 48 anggota bomba dibantu 14 anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan dikerahkan bagi memadam kebakaran berkenaan.

Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), KKM, Jabatan Air Negeri Sabah dan Sabah Electricity.

Moiley berkata, kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas kira-kira 7,124.84 meter persegi, manakala sebuah kereta turut hangus sepenuhnya.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 250 rumah berhampiran daripada turut dijilat api.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8 pagi, manakala kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa kebakaran diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca api atau mangsa lain di lokasi kejadian,” katanya.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan