Menu tulis RM15, bayar RM18, restoran dikenakan tindakan

LABUAN: Sebuah restoran di bandar Labuan dikenakan tindakan selepas didapati mengenakan harga makanan lebih tinggi berbanding harga yang dipaparkan pada menu.

Tindakan itu diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan susulan aduan pengguna berhubung percanggahan harga makanan di premis berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati hidangan Ngiu Chap Regular yang tertera pada menu berharga RM15, sebaliknya dikenakan bayaran RM18 ketika pembayaran di kaunter.

Susulan itu, pemilik restoran disyaki melakukan kesalahan mengikut Perenggan 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana memberikan gambaran mengelirukan berhubung harga.

Buku menu dan resit pembayaran turut disita bagi membantu siasatan lanjut.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, peniaga bertanggungjawab memastikan harga yang dipaparkan tepat dan selaras dengan bayaran dikenakan kepada pelanggan.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa menyemak harga makanan dan resit pembayaran bagi mengelakkan kerugian akibat percanggahan harga.

Berita Berkaitan