Caprice diperintah bayar Ebit Lew RM220,000, mohon maaf
SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan pempengaruh media sosial Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli membayar keseluruhan RM220,000 termasuk kos kepada pendakwah Ebit Lew selepas saman fitnah terhadapnya dibenarkan.
Hakim Zuhrina Mohamed Nor memutuskan demikian berhubung tujuh kenyataan berbaur fitnah menerusi podcast dan klip video yang diterbitkan Caprice sebelum ini.
Mahkamah memerintahkan Caprice membayar RM200,000 ganti rugi, masing-masing RM50,000 bagi ganti rugi am, teladan, pampasan dan teruk, selain kos sebanyak RM20,000 kepada Ebit Lew.
Caprice turut diperintahkan membuat permohonan maaf kepada Ebit Lew dan menyiarkannya di mana-mana platform media sosial di bawah kawalan atau pengawasannya dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah dimeterai.
Ebit Lew memfailkan saman pada 29 September 2023 dengan mendakwa rakaman berkenaan antara lain membawa maksud beliau melakukan gangguan seksual, mengambil kesempatan terhadap pempengaruh Indonesia, Mondy Tatto serta seorang yang tidak bertanggungjawab dan penunggang agama.
Plaintif turut mendakwa kenyataan berkenaan menyebabkan dirinya dikecam, diejek dan diaibkan.

