RCI TH: Bekas Pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan ditahan SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membantu siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Menurut laporan kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
SPRM menerusi hantaran di TikTok rasmi agensi itu memaklumkan kedua-duanya dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman turut mengesahkan penahanan berkenaan.
Pada 15 Ogos lalu, SPRM menahan tujuh individu terdiri daripada seorang ketua pegawai eksekutif, seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.
Penahanan terbaharu itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan SPRM terhadap perkara yang dibangkitkan dalam Laporan RCI Tabung Haji.

