Warga emas maut dirempuh ketika melintas jalan

PENAMPANG: Seorang pejalan kaki warga asing berusia 81 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Penampang-Kota Kinabalu berhampiran Penampang Baru di sini pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 66 tahun.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melintas jalan sebelum berlaku kemalangan.

Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Mayat kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan peka terhadap keadaan persekitaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Berita Berkaitan