335 mangsa banjir dipindahkan ke PPS di Tawau
KOTA KINABALU: Seramai 335 mangsa daripada 96 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di Tawau.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan semua mangsa ditempatkan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau yang dibuka sejak jam 11 pagi.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada penduduk Kampung Tanjung Batu Keramat, Tanjung Batu Darat, Tanjung Batu Otentik dan Kampung Kinabutan Tiku Batu 6.
Daerah Tawau diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pada jam 8.30 pagi selepas hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut mengarahkan semua agensi berkaitan menggerakkan aset dan tenaga kerja bagi mempercepat operasi menyelamat serta bantuan kepada mangsa.

