Sabah perkukuh kecekapan pelabuhan, libat pemain industri pacu ekonomi

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meneruskan usaha memperkukuh kecekapan pelabuhan dengan melibatkan pemain industri sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan daya saing sektor logistik dan perdagangan negeri.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan tidak pernah menolak pandangan yang dikemukakan oleh Sabah Freight Forwarders and Logistics Association (SAFFLA) dalam menangani isu operasi pelabuhan.

Beliau berkata, sebanyak 10 langkah penyelesaian interim sedang dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, termasuk pemindahan operasi Ro-Ro, penyediaan kawasan simpanan kontena tambahan serta penambahbaikan infrastruktur.

Menurutnya, kerajaan turut bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi berkaitan bagi merealisasikan operasi pelabuhan selama 24 jam, selain meneliti rayuan industri berkaitan semakan caj pelabuhan.

Katanya, dua kren baharu dijadual diterima minggu hadapan untuk Pelabuhan Tawau dan Lahad Datu sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kapasiti pengendalian kargo.

Ewon berkata, kerjasama erat antara kerajaan, agensi dan pemain industri akan terus diperkukuh bagi memastikan sistem logistik Sabah lebih cekap, mengurangkan kos rantaian bekalan serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

Berita Berkaitan