Sabah FC tagih sokongan padu hadapi Kuching City
KOTA KINABALU: Sabah FC mengharapkan sokongan padu penyokong apabila turun menentang Kuching City FC dalam aksi ‘Borneo Derby’ Liga Super di Stadium Likas, malam esok.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata kehadiran penyokong memenuhi stadium mampu memberikan tenaga tambahan kepada pemain, terutama selepas pasukan hanya mempunyai tempoh rehat dua hari selepas menentang Selangor FC.
“Kami perlukan stadium yang penuh untuk memberikan tenaga tambahan yang diperlukan, membantu kami menghadapi detik-detik sukar dan bersama-sama menikmati saat-saat yang baik,” katanya.
Menurut Garrido, Sabah FC berdepan jadual padat apabila perlu mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari, termasuk menentang dua pasukan yang dianggap memiliki kualiti tinggi.
Katanya, perlawanan terakhir dan sesi latihan turut menuntut penggunaan tenaga tinggi dalam keadaan kurang ideal.
“Kami berharap ia tidak menjejaskan keadaan pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.
Garrido berkata keadaan pemain sentiasa dipantau, manakala penggunaan barisan pemain berbeza dibuat berdasarkan strategi dan keperluan setiap perlawanan, bukannya semata-mata sistem penggiliran.
Mengulas Kuching City FC, beliau mengakui pasukan dari Sarawak itu mempunyai skuad kuat selepas mempamerkan prestasi baik musim lalu serta kini memiliki barisan pemain lebih mantap.
“Situasi itu mewujudkan persaingan sengit. Kami bermotivasi untuk ‘Borneo Derby’ ini. Kami dapat merasakannya daripada pemain tempatan dan kami juga yakin penyokong kami dapat merasainya.
“Pada ketika ini, kami perlukan penyokong untuk memberikan kuasa tambahan yang kami perlukan selepas hanya dua hari berehat daripada perlawanan terakhir,” katanya.

