Bekalan gas Sabah dijangka hampir dua kali ganda menjelang 2030
KOTA KINABALU: Bekalan gas Sabah dijangka meningkat daripada 700 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) kepada 1,350 MMscfd menjelang 2030, dipacu tujuh projek pembangunan luar pesisir dalam tempoh empat tahun akan datang.
Tujuh projek itu melibatkan dua syarikat minyak antarabangsa dan empat syarikat Malaysia, termasuk pembangunan empat medan gas baharu sebagai sebahagian rancangan jangka panjang memenuhi peningkatan permintaan tenaga dan perindustrian negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkembangan itu menunjukkan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan PETRONAS dalam pembangunan sumber minyak dan gas Sabah.
“Strategi ini menyediakan pelan pelaksanaan yang jelas bagi menjamin bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah,” katanya selepas menyaksikan penyerahan laporan SMJ Energy dan PETRONAS kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, di Kota Kinabalu hari ini.
Laporan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 serta Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah menggariskan strategi bekalan berdasarkan kajian Pasukan Petugas Bersama Strategi Gas Sabah yang diterajui SMJ Energy bersama PETRONAS.
Menurut laporan itu, permintaan tambahan gas antaranya didorong pembinaan loji janakuasa baharu, kemudahan gas asli cecair terapung ketiga PETRONAS (PFLNG3), serta pelaburan pembuatan di koridor Pantai Barat dari KKIP hingga Kimanis, SOGIP di Sipitang dan terminal gas Labuan.
Di Pantai Timur, kelompok medan gas Mutiara di luar pesisir Sandakan dikenal pasti untuk membekalkan gas kepada loji janakuasa baharu di Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan.
Pelan sama turut merangkumi cadangan menukar stesen janakuasa Sabah Electricity di Batu Sapi daripada diesel kepada turbin berasaskan gas. Jika dilaksanakan, Pantai Timur Sabah buat pertama kali dapat menjana bekalan elektrik berasaskan gas sendiri tanpa bergantung kepada penghantaran dari Pantai Barat.
Hajiji berkata langkah itu turut berpotensi membuka ruang pembangunan industri berasaskan gas di Sandakan dan kawasan Pantai Timur Sabah secara keseluruhan.

