Pegawai kanan agensi kerajaan ditahan, disyaki kemuka dokumen palsu RM15,000
SANDAKAN: Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dua dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kira-kira RM15,000.
Suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
Difahamkan, dua dokumen berkenaan membabitkan tuntutan perbelanjaan mesyuarat serta perbelanjaan sempena lawatan kerja pegawai kanan sebuah kementerian.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2023 dan 2024.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Rasuah Sandakan esok, 8 Oktober 2026.

