Sambutan Deepavali Sabah 2026 lambang perpaduan masyarakat pelbagai kaum
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Sabah 2026 menjadi simbol keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap komuniti minoriti di Sabah.
Majlis yang berlangsung di The Magellan Sutera Resort, di sini, pada Ahad itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dengan membawa semangat ‘Satu Sabah, Satu Hati’ sebagai teras memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sambutan Hari Deepavali 2026, Gobenath Jothi berkata, penganjuran sambutan berkenaan bukan sekadar meraikan perayaan masyarakat India, sebaliknya menjadi platform penting untuk menyemarakkan semangat muhibah dan kebersamaan rakyat Sabah.
Menurutnya, kepelbagaian budaya, agama dan adat resam yang menjadi identiti negeri ini perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian masyarakat berkekalan.
Beliau turut menyifatkan sokongan kerajaan negeri terhadap penganjuran sambutan berkenaan sebagai sesuatu yang bermakna kepada komuniti India, khususnya dalam memastikan masyarakat minoriti terus diberikan perhatian.
Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan India Sabah (SICC), Datuk V. Jothi turut memainkan peranan sebagai penganjur bersama dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Jawatankuasa Publisiti dan Promosi, Anbukkarasu Paramasivam berkata, konsep ‘Satu Sabah, Satu Hati’ wajar diketengahkan sebagai contoh keharmonian sosial yang matang dan inklusif dalam kalangan masyarakat majmuk.
Anbukkarasu yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Perdagangan, Politeknik Kota Kinabalu berpandangan, sokongan kerajaan negeri terhadap sambutan kebudayaan pelbagai komuniti mampu memperkukuh integrasi kaum serta semangat saling menghormati.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu turut memberi mesej bahawa kepelbagaian budaya bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan dalam membentuk masyarakat Sabah yang harmoni.
Penganjur berharap semangat kebersamaan yang diterapkan menerusi sambutan Deepavali itu dapat terus diperkasakan bagi memastikan hubungan antara kaum di Sabah kekal erat dan saling menghormati.
— SABAH NEWS TODAY

