Pendekatan ‘satu saiz untuk semua’ dalam bantuan zakat perlu dinilai semula, kata pensyarah
KUALA LUMPUR: Pendekatan bantuan zakat yang seragam atau ‘satu saiz untuk semua’ perlu dinilai semula kerana tidak semua usahawan asnaf berdepan cabaran dan keperluan yang sama.
Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Raja Rizal Iskandar Raja Hisham berkata, kajian mengenai keberkesanan program bantuan usahawan asnaf mendapati bantuan yang sama boleh menghasilkan impak berbeza bergantung kepada lokasi, akses pasaran dan tahap kesediaan penerima.
Menurutnya, selama ini kejayaan program zakat sering diukur berdasarkan jumlah dana yang diagihkan atau bilangan penerima bantuan, sedangkan keberkesanan sebenar bergantung kepada reka bentuk program, tadbir urus, pemantauan selepas bantuan dan pembangunan kapasiti usahawan.
Beliau berkata, usahawan di kawasan yang mempunyai akses pasaran dan kemudahan digital lebih mudah memanfaatkan bantuan peralatan untuk meningkatkan pengeluaran serta menembusi pasaran dalam talian.
Sebaliknya, katanya, usahawan di kawasan luar bandar lebih memerlukan modal pusingan mikro dan latihan yang fleksibel kerana menghadiri kursus sering menyebabkan mereka kehilangan pendapatan harian.
“Selain itu, terdapat juga usahawan asnaf yang berpotensi menjadi pembayar zakat, namun perkembangan mereka sering terbantut akibat kekurangan pemantauan selepas bantuan dan ketiadaan pelan graduasi yang jelas,” katanya dalam satu rencana.
Raja Rizal berkata, institusi zakat perlu beralih kepada pendekatan yang lebih bersifat setempat dan disesuaikan dengan keperluan penerima bagi memastikan bantuan benar-benar mampu mengeluarkan asnaf daripada kemiskinan secara mampan.

