Tekong nekad terjun laut, tinggal bot bawa petrol

SANDAKAN: Seorang tekong dipercayai terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan pesisir pantai selepas bot yang dipandunya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di Muara Sungai Mangkalinau Besar, semalam.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain berkata, bot itu dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.05 batu nautika di timur muara sungai berkenaan ketika rondaan Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.

Menurutnya, sebaik pasukan operasi menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan, suspek bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan pesisir pantai.

“Hasil pemeriksaan menemui 17 jerican disyaki mengandungi 510 liter petrol serta sebuah enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda (HP).

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM12,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Berita Berkaitan