Shafie persoal urus niaga RM700 juta libatkan SIP dan SMJ Energy

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempersoalkan urus niaga bernilai RM700 juta yang melibatkan Sabah International Petroleum (SIP) dan Sabah Maju Jaya (SMJ) Energy, selain membangkitkan beberapa isu berkaitan kedudukan kewangan Sabah Development Bank (SDB).

Shafie berkata, pengambilalihan SIP oleh SMJ Energy didakwa dibiayai menerusi pinjaman sukuk bernilai RM900 juta, dengan RM700 juta daripada jumlah itu digunakan bagi mengambil alih SIP yang sebelum ini merupakan anak syarikat milik penuh SDB.

Beliau mempersoalkan rasional pemindahan pemilikan itu memandangkan kedua-dua syarikat berkenaan dimiliki kerajaan negeri.

“Kenapa dipindah hak milik SIP kepada Sabah Maju Jaya Energy sedangkan ia merupakan anak syarikat Sabah Development Bank?” katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Shafie mendakwa SIP merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berprestasi baik dan masih mampu menjana keuntungan.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan kelulusan tambahan RM200 juta kepada SDB menerusi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026.

Walaupun kerajaan menjelaskan dana itu ditempatkan dalam Redeemable Preference Shares (RPS) yang boleh ditebus pada bila-bila masa, Shafie berkata langkah berkenaan masih menimbulkan persoalan mengenai kedudukan kewangan SDB.

Beliau turut mendakwa SDB mempunyai pinjaman tidak berbayar (NPL) kira-kira RM5 bilion dan menggesa kerajaan mendapatkan semula pinjaman tertunggak serta menjelaskan rasional penggunaan dana awam dalam urus niaga melibatkan syarikat milik kerajaan negeri.

Berita Berkaitan