Teknologi pemangkin perkasa peranan pustakawan
KOTA KINABALU: Perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan automasi perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan peranan pustakawan dalam menghadapi perubahan landskap maklumat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, perkembangan media sosial serta pelbagai platform digital telah mengubah cara masyarakat mendapatkan, menghasilkan dan berkongsi maklumat.
Menurutnya, perubahan itu memberi cabaran kepada institusi perpustakaan, namun tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman.
“Perpustakaan mesti terus berkembang daripada sekadar menjadi tempat mendapatkan bahan bacaan kepada sebuah hab ilmu, pembelajaran, inovasi dan komuniti.
“Pustakawan masa depan bukan sahaja mempunyai kemahiran mengurus koleksi dan sumber maklumat tetapi perlu mempunyai keupayaan dalam literasi digital, teknologi, pengurusan data, komunikasi dan pemikiran kritis,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron ketika merasmikan Persidangan Pustakawan Borneo 2026 (PPB2026) di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
James berkata, pembangunan modal insan terus diberi perhatian kerana kemajuan sesebuah negara bergantung kepada masyarakat berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Katanya, pustakawan merupakan antara kumpulan profesional yang memainkan peranan penting dalam ekosistem ilmu dan perlu terus meningkatkan kompetensi serta bersedia menerima perubahan.
PPB2026 berlangsung selama dua hari, 29 hingga 30 September, dengan penyertaan kira-kira 100 pustakawan dari seluruh Malaysia dan Brunei Darussalam.

