Disyaki bunuh isteri, suami kelar leher sendiri
TAWAU: Seorang lelaki warga asing disyaki membunuh isterinya sebelum mencederakan diri sendiri dalam kejadian di rumah pekerja Ladang Felda Umas 6, Jalan Kalabakan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu menyebabkan wanita berusia 37 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
Menurutnya, mangsa ditemukan dengan kecederaan pada kepala, leher dan tangan.
“Suspek berusia 38 tahun yang juga suami mangsa turut mengalami kecederaan dipercayai selepas mengelar leher sendiri.
“Suspek kini menerima rawatan di Hospital Tawau dan dilaporkan stabil serta ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Rosdi berkata, polis merampas sebilah sabit dan sebatang kayu untuk membantu siasatan.
Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berkaitan masalah hubungan rumah tangga selepas pasangan itu pulang daripada bercuti. Bagaimanapun, punca sebenar masih disiasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis turut menjalankan pemeriksaan forensik, analisis DNA, mendapatkan laporan perubatan serta bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.
Menurut Rosdi, sebarang pengakuan awal suspek masih perlu disahkan menerusi bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan.

