GBM mahu jawatan PM digilir antara tiga wilayah setiap lima hingga lapan tahun

TUARAN: Gabungan Bebas Merdeka (GBM) mengemukakan cadangan supaya jawatan Perdana Menteri digilirkan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak setiap lima hingga lapan tahun bagi mengelakkan dominasi kuasa oleh satu wilayah dalam pentadbiran negara.

Pengerusinya, Dr Kanul Gindol berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada usaha merombak struktur perkongsian kuasa Persekutuan supaya kedudukan Sabah dan Sarawak lebih terjamin.

Beliau turut mencadangkan supaya Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya berasal dari Sarawak, selaras dengan tuntutan GBM untuk mewujudkan keseimbangan politik antara tiga wilayah berkenaan.

Cadangan itu diumumkan ketika pelancaran Proklamasi Budaya Politik GBM di Tamu Tenghilan, Tuaran, hari ini.

Menurut Kanul, sistem perkongsian kuasa sedia ada perlu dinilai semula bagi memastikan Sabah dan Sarawak tidak terus berada dalam kedudukan yang disifatkannya kurang seimbang berbanding Semenanjung.

Sehubungan itu, beliau menggesa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan formula penggiliran jawatan Perdana Menteri dan perkongsian kuasa antara wilayah dilaksanakan.

Bagaimanapun, cadangan itu masih merupakan pendirian politik GBM dan belum menjadi sebahagian daripada kerangka perlembagaan negara.

Mahu MA63 dilaksanakan sepenuhnya

Dalam proklamasi sama, GBM menggariskan lima prinsip budaya politik baharu yang mahu diperjuangkan gabungan berkenaan.

Antaranya, pemimpin perlu mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi, menolak rasuah dan kronisme serta memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan.

GBM turut menekankan keperluan membudayakan perdebatan berasaskan idea dan hujah, bukannya serangan peribadi atau fitnah.

Kanul berkata, kesetiaan pemimpin juga seharusnya diberikan kepada negara dan rakyat, bukannya kepada individu atau parti politik semata-mata.

ā€œPemimpin berkhidmat untuk rakyat, bukan rakyat wujud untuk pemimpin,ā€ katanya dalam proklamasi itu.

Beliau turut menggesa supaya jawatan awam tidak dijadikan saluran untuk memperoleh keuntungan peribadi.

Tolak model pentadbiran yang gagal

Kanul berkata, GBM mahu membawa perubahan dalam budaya kepimpinan Sabah melalui pendekatan yang lebih telus, berintegriti dan berteraskan aspirasi rakyat.

Menurutnya, gabungan itu menolak model pentadbiran yang dianggap gagal menghasilkan pembangunan saksama, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

GBM juga mencadangkan pengenalan institusi Ketua Kaum Ibu dan Nenek di setiap kawasan sebagai pengiktirafan terhadap peranan golongan berkenaan dalam kepimpinan dan kestabilan masyarakat.

ā€œPerubahan tidak datang dengan sendirinya. Ia mesti diperjuangkan, dimulakan hari ini, dan dibawa oleh kita sendiri — rakyat Sabah dan Sarawak,ā€ katanya.

Pelancaran proklamasi itu dihadiri 13 pemimpin kawasan Parlimen Tuaran dan Kota Belud, selain pengunjung Tamu Tenghilan.

Kanul berharap inisiatif berkenaan menjadi permulaan kepada gerakan politik yang lebih luas untuk memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak.

Cadangan penggiliran jawatan Perdana Menteri yang diketengahkan GBM bagaimanapun menimbulkan persoalan mengenai bentuk pindaan perlembagaan yang diperlukan serta bagaimana mekanisme itu boleh diselaraskan dengan sistem demokrasi berparlimen negara.

Setakat ini, GBM belum memperincikan mekanisme pemilihan atau pelaksanaan penggiliran jawatan berkenaan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan