LTdL 2026: 20 pasukan sah berentap, dua WorldTeam turun cabaran
KUALA LUMPUR: Saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dijangka lebih sengit apabila 20 pasukan termasuk dua berstatus WorldTeam dan lapan ProTeam mengesahkan penyertaan dalam edisi ke-30 perlumbaan berprestij itu dari 27 September hingga 4 Oktober depan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, senarai itu dilengkapkan sembilan pasukan Continental serta skuad kebangsaan Malaysia yang bakal mengharungi lapan peringkat perlumbaan sejauh 1,285.5 kilometer.
Dua pasukan WorldTeam ialah XDS Astana dari Kazakhstan dan Picnic PostNL dari Belanda, manakala lapan ProTeam termasuk Tudor Pro Cycling Team, TotalEnergies, Caja Rural-SegurosRGA dan muka baharu dari Amerika Syarikat, Modern Adventure Pro Cycling.
Walaupun hanya 20 pasukan bertanding berbanding 22 pada edisi lalu, Jefri berkata jumlah itu masih memenuhi kuota perlumbaan berstatus ProSeries ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Pengurangan jumlah pasukan dibuat bagi menjimatkan perbelanjaan termasuk yuran penampilan dan elaun perjalanan.
Saingan tahun ini dijangka sukar diramal apabila laluan menyaksikan tiga pendakian mencabar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands, menjadikan edisi berkenaan antara paling mencabar sejak LTdL diperkenalkan pada 1996.
Jefri berkata pengalaman beberapa pasukan bertanding dalam perlumbaan Grand Tour seperti Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a España bakal meningkatkan lagi tahap persaingan.
Menurutnya, faktor laluan serta peluang mengutip mata ranking pada penghujung musim dijangka mendorong pasukan menghantar barisan pelumba terbaik mereka ke Malaysia.
LTdL 2026 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Asia-UCI dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

