PDRM percepat faedah, lebih RM200,000 untuk keluarga renjatan elektrik
KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempercepat semua urusan bayaran faedah dan bantuan kebajikan kepada waris Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim, 29, yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pengarah Pengurusan Bukit Aman sudah diminta memastikan semua bayaran yang layak diterima keluarga Allahyarham diselesaikan tanpa melalui tempoh proses biasa.
Menurutnya, langkah itu penting bagi meringankan beban isteri Allahyarham, Fatimah Shahira, yang kini perlu meneruskan kehidupan bersama anak lelaki mereka berusia dua tahun.
“Saya sampaikan jaminan kepada isteri dan keluarga bahawa kesemua perkara yang berkaitan akan dipercepat, tidak melalui proses biasa,” katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, hari ini.
Saifuddin berkata, keseluruhan sumbangan dan bayaran kepada keluarga Allahyarham melebihi RM200,000, termasuk bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Kelantan serta bayaran takaful hasil caruman Allahyarham sebagai anggota Koperasi Polis.
Katanya, Mohamad Nur Hafiz turut menamakan isteri dan ibunya sebagai penerima pencen, manakala PDRM bersedia membantu keluarga berkenaan sekiranya memerlukan bantuan kebajikan berkaitan anak dan keluarga pada masa akan datang.
Mohamad Nur Hafiz bersama Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26, maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi di luar Balai Polis Weston berhampiran SK Weston, Beaufort, Khamis lalu.
Saifuddin berkata kehilangan anggota tanpa mengira pangkat merupakan kehilangan besar kepada PDRM, sambil menegaskan kebajikan keluarga anggota yang terkorban akan terus diberikan perhatian.

