Sabah sasar kurangkan import makanan hampir RM2 bilion setahun

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi menjimatkan sebahagian besar perbelanjaan import makanan bernilai hampir RM2 bilion setahun sekiranya pengeluaran beras, jagung dan bawang dapat dipertingkatkan secara berskala.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tiga komoditi itu mencatatkan antara nilai import tertinggi di negeri ini.

Menurutnya, Sabah mengimport beras bernilai sekitar RM1 bilion setahun, jagung RM600 juta dan bawang RM400 juta.

“Jumlah keseluruhannya hampir RM2 bilion setahun dan ini belum termasuk kacang soya, gandum serta komoditi lain.

“Dengan keluasan tanah yang kita ada, komoditi ini boleh diusahakan di Sabah dan pada masa sama membuka peluang ekonomi kepada golongan muda,” katanya selepas Sabah Agro Expo (SAEX) 2026 di sini.

Jamawi berkata, kerajaan negeri sedang memperluaskan program mini estet padi dengan memadankan pemilik sawah yang tidak lagi mampu mengusahakan tanah mereka dengan syarikat yang berminat membangunkan kawasan berkenaan.

Katanya, enam syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), manakala 19 syarikat lagi sedang menunggu tanah sesuai untuk projek penanaman padi.

Dalam usaha meningkatkan pengeluaran jagung pula, kerajaan menyediakan peruntukan RM20 juta bagi tempoh kira-kira lima tahun.

Menurutnya, tanaman secara berskala besar serta penggunaan mekanisasi, mesin dan dron mampu mengurangkan kos pengeluaran.

“Di Kota Marudu, kos pengeluaran jagung sekitar 90 sen hingga RM1 sekilogram, sedangkan harga import kira-kira RM1.60 sekilogram.

“Ini menunjukkan tanaman jagung tempatan mempunyai daya maju ekonomi dan masih mampu memberi keuntungan,” jelasnya.

Jamawi berkata pembangunan tanaman bawang turut akan diberi perhatian kerana komoditi itu mempunyai pasaran yang besar dan berpotensi menggantikan sebahagian bekalan import.

Beliau turut menggesa golongan muda menjadikan sektor pertanian, penternakan dan perikanan sebagai bidang keusahawanan yang mampu menjana pendapatan.

Katanya, pelbagai latihan, insentif dan kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan, termasuk pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah dan cagaran.

SAEX 2026 yang berlangsung selama tiga hari disertai kira-kira 200 pempamer, dengan 65 peratus peserta terdiri daripada golongan berusia 40 tahun ke bawah.

Berita Berkaitan