Kes pelancong China: Jafry arah semak lesen, keselamatan resort Semporna

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin mengarahkan pihak berkuasa pelancongan menyemak segera status lesen serta tahap keselamatan sebuah resort di Semporna susulan kejadian dilaporkan membabitkan seorang pelancong wanita China. 

Jafry berkata keselamatan setiap pelancong ke Sabah mesti kekal sebagai keutamaan, selain mengalu-alukan tindakan polis menahan seorang suspek bagi membantu siasatan.

“Saya mengalu-alukan tindakan pantas polis menahan seorang suspek dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa pelancongan turut diarahkan menyelaras dengan agensi penguatkuasaan sekiranya tindakan lanjut diperlukan.

Menurut Jafry, sebarang kelemahan yang dikenal pasti hasil pemeriksaan perlu ditangani segera, manakala pengusaha penginapan bertanggungjawab menyediakan persekitaran selamat kepada tetamu.

“Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelawat,” katanya. 

Polis sebelum ini menahan seorang lelaki berusia 18 tahun selepas seorang pelancong wanita China berusia 25 tahun mendakwa bilik penginapannya diceroboh dan dia dicabul. Kes berkenaan masih dalam siasatan. 

Berita Berkaitan