Lebih 1,000 penduduk rayu jalan rosak lebih 20 tahun dibaiki
TONGOD: Lebih 1,000 penduduk di lapan kampung di daerah ini merayu supaya Jalan Bernion Timber yang didakwa rosak teruk akibat penggunaan lori membawa muatan kelapa sawit dibaiki segera.
Wakil penduduk, Erwin berkata, jalan itu menjadi laluan utama penduduk Kampung Pisang, Likowom Kawayoi, Tataliduson, Susoi, Tudungin, Kaliangau, Inarad dan Langga untuk ke Pekan Nabawan, Keningau, hospital serta menguruskan keperluan harian.

Menurutnya, masalah berkenaan didakwa berlarutan lebih 20 tahun tanpa penyelesaian yang menyeluruh sehingga menyukarkan kehidupan penduduk.
“Keadaan jalan menjadi semakin teruk terutama ketika hujan apabila bertukar becak dan berlumpur sehingga ada lori sendiri gagal melepasi laluan berkenaan.
“Kalau lori pun boleh tersangkut, bagaimana pula kenderaan penduduk kampung. Kami bimbang jika berlaku kecemasan kerana ambulans mungkin sukar masuk ke kampung,” katanya kepada Sabah News Today.

Beliau berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Naim Moktar dapat turun padang melihat sendiri keadaan sebenar.
Katanya, syarikat perladangan yang menggunakan laluan berkenaan juga perlu memainkan tanggungjawab membantu membaiki jalan demi kepentingan masyarakat.

